Saturday 25 April 2015

10 Wasiat Rasulullah S.A.W kepada puterinya Fatimah Az-Zahra'

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini BP ingin berkongsi rasa dengan anda semua tetang keistimewaan kaum wanita...



10 Wasiat Rasulullah S.A.W kepada puterinya Fatimah Az-Zahra'

"Ya Fatimah, wanita yang membuat tepung untuk suami dan anak-anaknya, pasti Allah akan menetapkan kebaikan baginya dari setiap biji gandum, melenyapkan keburukan dan meningkatkan darjat wanita itu."

"Ya Fatimah, wanita yang berpeluh ketika mengisar tepung untuk suami dan anak-anaknya, nescaya Allah menjadikan dirinya dengan neraka tujuh tabir pemisah."

"Ya Fatimah, tiadalah seseorang yang meminyakkan rambut anaknya lalu menyikat dan mencuci pakaiannya, melainkan Allah akan menetapkan pahala baginya seperti pahala memberi makan seribu orang yang kelaparan dan memberi pakaian seribu orang yang telanjang."

"Ya Fatimah, tiadalah wanita  yang tidak memberikan bantuan kepada jirannya, melainkan Allah akan menghalangnya dari minum telaga kautsar pada hari kiamat kelak."

"Ya Fatimah, yang lebih utama dari segala keutamaan di atas adalah keredhaan suami terhadap isteri. Andai suami tidak redha padamu, maka aku tidak akan mendoakanmu. Ketahuilah wahai Fatimah, kemarahan suami adalah kemurkaan Allah."

"Ya Fatimah, apabila wanita mengandung maka malaikat memohonkan keampunan baginya dan Allah menetapkan baginya setiap hari seribu kebaikan serta menghilangkan seribu keburukan. Ketika wanita merasa sakit untuk melahirkan, Allah menetapkan pahala baginya sama dengan pahala para pejuang di jalan Allah. Jika dia melahirkan kandungannya, maka bersihlah dosa-dosanya seperti ketika dilahirkan dari kandungan ibunya. Bila meninggal ketika melahirkan, maka dia tidak akan membawa dosa sedikit pun. Di dalam kubur, akan mendapat taman-taman indah yang merupakan sebahagian dari taman syurga. Dan Allah memberikan pahala kepadanya sama dengan pahala seribu org yang melaksanakan ibadah haji dan umrah dan seribu malaikat memohon keampunan baginya hingga hari kiamat."

"Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebajikan. Allah memberikan kepadanya pahala seratus kali beribadah haji dan umrah."

"Ya Fatimah tidaklah wanita yang tersenyum dihadapan suaminya, melainkan Allah memandangnya dengan pandangan yang penuh kasih."

"Ya Fatimah, tiadalah wanita yang membentangkan alas tidur untuk suaminya dengan rasa senang hati melainkan para malaikat yang memanggil dari langit menyeru wanita itu agar menyaksikan pahala amalnya dan Allah mengampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan yang akan datang."

"Ya Fatimah, tidaklah wanita yang meminyakkan kepala suami dan menyikatkannya, meminyakkan janggut dan memotong misainya serta memotong kukunya melainkan Allah memberikan minuman yang didatangkan dari sungai-sungai syurga. Allah mempermudah sakaratul maut baginya serta kuburnya menjadi sebahagian dari taman-taman syurga. Allah membebaskannya dari seksa neraka serta dapat melintasi titian sirat dengan selamat."

Rujukan : Biografi Agung Rasulullah S.A.W, Rusydi Ramli Al-Jauhari

MashaAllah..Tabarakallah.

Teramat istimewa sekali diri  kita ini wahai muslimah. Alhamdulillah!

Maha Suci Allah diatas sifat penyayang dan pemurahNya kepada kaum Hawa. Malah dijanjikan syurga kepada wanita setelah menjadi ibu dan isteri. Walaubagaimanapun dengan syarat wanita perlulah menjadi isteri yang taat kepada suami dan ibu mithali & penyayang kepada anak-anak soleh& solehah.

Apakah kita sebagai wanita masih tidak bersyukur dan sedar?

Wasiat ini sangat menarik dan boleh dijadikan renungan serta pedoman bersama. Sungguhpun wasiat ini ditujukan kepada Fatimah Az-Zahra, namun kita sebagai muslimah perlu menjadikannya sebagai ikhtibar dan amalan. 

Untuk mengecapi sebuah institusi kekeluargaan yang bahagia dan hormani, mesti mewujudkan suasana kasih sayang. Kasih sayang adalah resepi atau kunci kebahagian antara suami, isteri dan anak-anak. Bila hadirnya rasa kasih sayang, akan timbul sifat pencinta, penyayang, penyabar, toleransi dan pelbagai lagi sifat mahmudah yang akhirnya membina hubungan kekeluargaan yang makin erat dan ikhlas.  

Luaskan Jaringan Kasih Sayang.

Kasih sayang dalam rumah tangga bukan setakat hubungan suami isteri. Malah ia juga melibatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Jika kita ikuti  paparan berita mutakhir, peningkatan kadar perceraian dan permasalahan ibu bapa dan anak-anak semakin hari semakin meningkat  dan mendukacitakan. Masalah dalam institusi kekeluargaan tidak harus dipandang sepi dan enting dan oleh sebab itu amat mustahak untuk kita semua bermuhasabah sejauh mana rumah tangga kita subur dengan kehangatan kasih sayang.

Abu Umamah berkata: "Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang ibu dengan dua orang puterinya, seorang didukung dan seorang lagi dipimpin tangannya.  Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: 'Kamu ibu yang tabah dan penyayang. Apabila mereka (ibu-ibu) tidak derhaka lepada suami, maka sesiapa yang menjaga solat pasti akan masuk syurga." (Riwayat Ibn Majah)

Ana percaya jika wasiat Rasulullah s.a.w kepada Fatimah Az-Zahra ini dijadikan panduan oleh para muslimah, inshaAllah keluarga akan mengecapi 'sakinah'. Janganlah kita mencipta pelbagai alasan untuk tidak mahu melakukan amalan-amalan seperti yang diwasiatkan. "Sibuklah, Malulah, Tiada masalah, Orang gaji adalah, Penatlah dan pelbagai alasan lagi". Nak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ingat, untuk memperolehi kebahagiaan, kita perlu membahagiakan orang terlebih dahulu. ;)

Ada sahabat ana cakap, macam mana kita nak buat tepung dan mengisar gandum tu? Tak payahlah kita samakan gandum. Perumpaannya sama seperti kita ingin menyediakan makanan pada suami dan anak-anak tetapi bersusah payah hendak siapkan masakan tu. Habis menitis-nitis peluh hanya kerana mahu menghidangkan hidangan terbaik buat keluarga, sudah pasti ganjaran yang Allah s.w.t kurniaan adalah sama.

Kadang-kadang, perkara paling mudah selalu kita tidak hiraukan. Tindakan hanya dengan meminyak dan menyikat rambut anak-anak, Allah s.w.t  telah kurniakan bonus pahala yang sangat besar. MashaAllah.  Mungkin hari ini, ibu mahukan anak-anak berdikari menyiapkan diri mereka sendiri, dan ibu tidak punya masa untuk mencuci pakaian anak-anak mereka akibat kesibukan bekerja, namun begitu setelah mengetahui wasiat ini, layaklah seorang ibu untuk memberikan sedikit masa  demi menyempurnakan keperluan anak-anak. Yakinlah bahawa setiap tindakan kita pasti punya hikmah seribu makna.

Mengetahui bahawa sewaktu mengandung, wanita  diampunkan dosa-dosanya, Allah menetapkan setiap hari seribu kebaikan serta menghilangkan seribu keburukan, apa yang ana boleh katakan beruntunglah kamu wahai ibu-ibu. Allahuakhbar!. Walaupun ana tidak punya pengalaman, namun ana tetap berasa gembira dan mengucap syukur di atas kemurahan Rahmat  daripada Allah s.w.t. Dan yang paling istimewa ialah setelah melahirkan anak, sudahlah dikurniakan anak yang suci bersih tanpa dosa, ibu juga turut sama dihapuskan segala dosa-dosanya. Subhanallah.

Isteri yang taat serta pandai mengambil hati dan melayani suami dengan ikhlas pasti akan disayangi sepenuh hati oleh suaminya. Tak payah nak fikir berat sangat cara nak mengambil hati suami, hanya dengan senyum dihadapan suami, Allah s.w.t akan memandangnya dengan penuh kasih. Apabila suami redha dengan isterinya, pasti Allah s.w.t redha dengannya. Bila suami nak marah, isteri senyum sahaja, terus tak jadi nak marah. Sejuk terus hati. Aset wanita adalah sifat pemujuk. Pujuklah dengan senyuman. :).  (Walaupun ana tiada pengalaman, tapi ana fikir dari hubungan antara ana dan papa. Bila papa nak marah, ana senyum, nanti dia senyum juga, terus tak jadi marah)). Ingat wanita, kemarahan suami adalah kemurkaan Allah. 

Antum perasan tak, ibu-bapa atau tok-nenek kita dulu semasa berduaan atau ketika bersama mesti sangat romantik kan? Kita boleh nampak mereka berpegang tangan, sikatkan rambut suami, ikatkan rambut isteri, isteri bentangkan tempat tidur. Dan sedar tak sedar, rumah tangga mereka sentiasa aman, kekal sehingga ke usia tua. Jika dulu, mana lah kita akan dengar kes-kes perceraian. Itulah penting menyemarakkan rasa kasih sayang antara suami isteri. Allah s.w.t menyukai hambanya berbuat baik kepada suami. Beruntunglah para isteri.

Ketepikan soal malu dan ego, tapi benihkanlah nilai kasih sayang antara suami isteri. Mungkin isteri ada mengadu suami tak romantik, suami pelik bila isteri nak sikat dan minyakkan rambut. Suami pandailah buat sendiri. Hal yang demikian, isteri harus menjelaskan secara baik kenapa isteri buat begitu pada suami. :)

Zaman sekarang di bilik tidur siap ada katil dengan comforter empuk, jadi apa lagi nak bentangkan alas tidur? Kalau dan sedia ada baguslah. Makanya isteri hanya perlu menyediakan keadaan yang terbaik kepada suami sebelum suami masuk tidur. Sediakan apa yang patut seperti kelambu moden, selimut, bantal dan mungkin ubat nyamuk :)

Akhir kalam,

Wasiat ini jelasnya bukan hanya tertumpu pada zaman Rasulullah s.a.w sahaja, tetapi ialah merupakan wasiat sepanjang zaman. Marilah kita sama-sama, para muslimah yang sudah menjadi isteri, ibu dan masih bujang untuk menjadikan wasiat ini sebagai tips membina kebahagiaan rumah tangga dan mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah dan niat perkahwinan yang dibina untuk mencari keredhaan Allah, InshaAllah kita akan beroleh kebahagian di dunia dan akhirat dan berjaya mengharungi cabaran dalam rumah tangga.

Buat para akhi, yang sudah berkahwin atau belum berkahwin, ingatkanlah isteri dan bakal isterimu tentang wasiat Rasulullah s.a.w kepada puterinya Fatimah Az-Zahra' ini. Dan berilah ruang kepada para isteri untuk meluaskan jaringan kasih sayang mereka dengan menunjukkan sifat kasih dan manja  kepada si suami.

^_^"



Waulahua'lam